Rumah ibadat di Kelantan dijadikan PPV

0
30
Dr Zaini Hussin

KOTA BHARU – Enam lokasi membabitkan masjid, surau dan sekolah pondok di negeri ini kini beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara bagi memudahkan orang ramai khususnya di kawasan luar bandar mendapat suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, melalui program outreach vajksinasi itu, setiap PPV akan beroperasi selama 5 hari dengan sasaran 400 suntikan setiap hari.

“Walaupun ia dilaksanakan di masjid tetapi tidak terhad kepada golongan Muslim sahaja. Malah ada juga 10 hingga 20 peratus golongan bukan Muslim turut hadir untuk mendapatkan suntikan di PPV sementara ini.

“Setakat ini, 600 orang telah menerima suntikan vaksin di PPV sementara ini,” katanya memetik laporan Bernama, semalam.

Dianggarkan lebih daripada 120,000 penduduk di Kelantan telah mendapatkan dos pertama manakala lebih 50,000 telah melengkapkan suntikan.

Dr. Zaini berkata, inisiatif pengoperasian PPV sementara di pusat ibadat itu adalah untuk memastikan lebih ramai penduduk menerima suntikan vaksin secepat mungkin selain memudahkan pergerakan mereka.

“Pihak kami juga mendapat sokongan daripada penggawa serta Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjalinkan kerjasama bagi mengumpul nama-nama selain mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pengoperasian PPV sementara itu mungkin dilanjutkan jika mendapat permintaan tinggi.

Beliau juga berkata tahap kesedaran penduduk Kelantan berhubung suntikan vaksin semakin baik kerana melalui program outreach sebelum ini, isu ketidakhadiran individu untuk mendapatkan suntikan adalah rendah.

“Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa sambutan masyarakat Kelantan untuk menerima suntikan vaksin semakin baik,” katanya sambil menambah seramai 140,000 rakyat Kelantan telah menerima dos pertama suntikan vaksin setakat ini.

Ditanya mengenai program outreach vaksinasi di kawasan pedalaman, Dr Zaini berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan penduduk mendapat suntikan sebelum musim tengkujuh selewat-lewatnya pada September ini.

“Ini kerana keadaan cuaca pada ketika itu akan menyukarkan petugas kesihatan masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk memberikan suntikan vaksin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here