Sasaran 80 peratus vaksinasi akan dipercepatkan

0
30
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Pemberian suntikan vaksin Covid-19 yang ketika ini berada pada kapasiti 100,000 sehari dijangka akan ditingkatkan dua kali ganda menjelang Julai tahun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, jaminan itu sejajar dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu 80 peratus rakyat divaksin lebih lebih daripada pelan awal penghujung tahun ini.

Khairy berkata, usaha itu dilaksanakan melalui rundingan semula bagi menyegerakan jadual penghantaran vaksin ke negara ini melibatkan ketibaan 12 juta dos vaksin Sinovac pada penghujung Julai dan 25 juta dos Pfizer pada suku ketiga tahun ini.

Pada masa sama, katanya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang membuat penilaian terhadap vaksin satu dos CanSino.

“Kita telah meningkatkan kapasiti jumlah pemberian dengan ketika ini 100,000 dos sehari telah diberi. Kami mahu meningkatkan kepada dua kali ganda menjelang bulan Julai.

“Saya memahami kegusaran orang ramai yang menanti giliran untuk menerima vaksin. Peningkatan jumlah kes membuatkan keadaan semakin mendesak.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan terus menyegerakan kadar pemberian vaksin bagi memastikan kita dapat melindungi seberapa ramai individu secepat yang mungkin,” katanya melalui video dalam Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV).

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pelbagai usaha sedang dijalankan bagi memastikan proses pemberian vaksin dilaksanakan pada kadar lebih pantas.

Katanya, ia termasuk menambah pusat pemberian vaksin (PPV) mega yang boleh mencecah antara 5,000 sehingga 10,000 dos vaksin sehari.

Selain itu, kata beliau, bilangan klinik perubatan am (GP) swasta yang dijadikan PPV juga akan ditambah kepada 1,000 klinik menjelang akhir Jun di samping hospital swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here