Saya buat ini semua kerana sayangkan anda- Coach Fadzil

0
201
Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim ketika menyampaikan amanat kepada pekerja secara maya di pejabatnya hari ini

CYBERJAYA – “Saya sayangkan awak semua, atas sebab itu saya buat macam-macam benda,” kata Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim.

Beliau berkata, orang luar mungkin tidak faham apa yang diusahakan dan nampak pelik dengan perancangan Kumpulan Malakat Eco kerana belum nampak berjaya.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, kejayaan itu mungkin memakan masa kerana sesebuah perniagaan tidak berjaya dengan mudah.

“Kita tidak boleh buat dan terus berjaya, Kumpulan Malakat ini baharu sahaja ditubuhkan setahun lalu dan kini memasuki tahun kedua dan perjalanan kita masih panjang.

“Kita belum berjaya jika dibanding dengan Brainy Bunch yang sudah 11 tahun beroperasi, saya rancang macam-macam untuk kejayaan kita bersama.

“Apa yang saya mahu buat ialah mahu bantu awak semua, bantu kita…Insya-Allah dipermudahkan bila mati mengadap Allah, kita bantu semua ibu bapa dan anak-anak.

“Kita bantu masuk syurga tanpa hisab…lepas siksa kubur, ini kita nak kehidupan yang sempurna di dunia kekal abadi,” katanya dalam amanat kepada pekerjanya hari ini.

Untuk makluman, Kumpulan Malakat Eco melaksanakan pelbagai perancangan untuk pekerjanya termasuk mempertingkatkan iman kepada Allah dan perbaiki amal.

Menurut Mohd Fadzil lagi, beliau risau kerana tahu ramai dalam kalangan pekerjanya yang tidak faham dan hanya memberi fokus kepada kehidupan di dunia semata-mata.

“Saya risau sebab tahu ramai dalam kalangan kita tidak faham dan hanya fokus kehidupan untuk dunia yang pendek…dia lupa ada kehidupan yang lebih panjang dan berkekalan.

“Kita cintakan seseorang itu dengan perbuatan..kita perbetulkan. Kita berusaha untuk semua kakitangan mendapat gaji minima RM5,000 sebulan, sama-sama kena berusaha,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil turut mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini memberi kesan mendalam kepada pengurusan kewangan syarikat.

“Ketika ini, kita diuji dengan PKP…kita kena bersatu, guna keupayaan kita untuk keluar daripada ujian sekarang. Kewangan kita terkesan, saya minta semua berusaha bantu seperti tahun lalu.

“Kita mohon kepada Allah, buat solat hajat di rumah dan cawangan masing-masing agar Allah bantu kita keluar daripada ujian Covid-19 yang melanda negara ketika ini. Usaha di tangan kita semua.

“Sebenarnya, ada pengurusan dan bos hubungi saya agar lakukan sesuatu seperti kurangkan pekerja, pengurangan gaji dan sebagainya. Ini sebenarnya strategi biasa…tetapi kita tidak pernah buat.

“Yakinlah bahawa Allah akan bantu tetapi kita juga kena berusaha. Saya tidak akan buang pekerja dan potong gaji…kalau terpaksa kita akan buat macam tahun lepas (pembayaran gaji secara berperingkat),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here