Sebanyak RM78,500 berjaya dikutip untuk bantu rider disyaki pukul lelaki persenda kalimah Allah

0
478

Orang ramai secara beramai-ramai membawa seorang lelaki yang didakwa mempersendakan nama Allah ke balai polis baru-baru ini

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) telah menyerahkan semua wang sumbangan berjumlah RM78,500 yang dikutip melalui Tabung Kilat Bela Rider Pertahan Kalimah Allah kepada Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) hari ini.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, wang hasil sumbangan orang ramai itu diserahkan kepada Pengerusi PENGHANTAR, Zulhelmi Mansor yang mewakili kesemua penghantar makanan tersebut.

“Atas persetujuan bersama dan selaras dengan yang dijanjikan, cek RM5,000 (jumlah RM25,000) telah diserahkan untuk setiap rider yang ditahan bagi kegunaan segera kebajikan mereka manakala sebanyak RM15,000 diserahkan kepada persatuan mereka bagi agenda membela rider-rider pada masa akan datang.

“Lebihan wang akan diuruskan oleh persatuan tersebut melalui pantauan peguam pihak ketiga selaku pemegang taruh dan pihak Pembela bagi menjamin integriti kegunaan dana ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, polis meminta orang ramai berhati-hati dengan kutipan derma tersebut kerana pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran ikat jamin untuk kesemua penghantar makanan tersebut.

Bagaimanapun, Pembela yang merupakan pihak menggerakkan usaha tersebut tampil menjelaskan kutipan derma itu bukan sahaja untuk ikat jamin mereka tetapi juga untuk kegunaan lain terutamanya ketika didakwa di mahkamah dan untuk kegunaan mereka selepas kehilangan pekerjaan akibat isu tersebut.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sumbangan dana itu amat penting kerana kes tersebut masih belum tamat kerana mereka masih belum melalui proses mahkamah

“Proses yang panjang di mahkamah ini biasanya akan menjejaskan pendapatan rider ini kerana perlu kerap naik turun mahkamah dan pekerjaan harian mereka pasti tergendala. Ini juga sebagai persediaan jika mereka dikenakan saman atau tuntutan ganti rugi kelak.

“Perlu dijelaskan bahawa kutipan dana ini bukan untuk bayar wang tahanan reman sebagaimana yang didakwa oleh pihak polis tetapi difokuskan untuk wang jaminan mahkamah, jika sekiranya mereka didakwa.

“Jelas, pihak polis sudah tersalah faham dan keliru yang menyebabkan pihak polis membuat laporan polis,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here