Sekarang masa terbaik untuk beli bisnes -Coach Fadzil

0
670
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

CYBERJAYA – Pandemik Covid-9 yang membadai dunia ketika ini menawarkan peluang terbaik untuk umat Islam membeli perniagaan-perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan semula apabila keadaan kembali pulih.

Bagaimanapun usaha untuk membeli sesuatu bisnes yang mampu memberi pulangan menguntungkan bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan tanpa kuasa ekonomi atau dana, selain perancangan yang teratur.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, penularan Covid-19 yang ‘membunuh’ ribuan jenis perniagaan di seluruh dunia ketika ini menawarkan jalan pintas kepada umat Islam menjadi pemilik atau pemilik bersama perniagaan.

Bahkan katanya, peluang untuk mengambil alih sesuatu perniagaan sebenarnya jauh lebih menguntungkan daripada bermula dari kosong (awal).

Namun dalam konteks kuasa ekonomi umat Islam di negara ini katanya, pengambil alihan bisnes memerlukan penyatuan dana secara berkumpulan kerana tidak ramai yang berkemampuan melakukannya secara bersendirian.

“Pandemik ini memberikan seribu satu hikmah bagi mereka yang mahu melihat kelebihannya. Tentunya ada risiko yang harus ditanggung. Kalau beli secara sendirian, ia memang payah.

“Pada waktu inilah anda boleh membeli restoran dengan harga yang amat murah. Kalau kita nak tunggu sendirian memang berat kerana kita tidak punya dana yang banyak,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Coach Fadzil berucap pada program keusahawanan Ayuh Bangkit anjuran pihaknya.

Mohd. Fadzil memberikan contoh bagaimana beliau memulakan rangkaian lebih 100 buah tadika Brainy Bunch di seluruh negara dengan hanya membeli sebuah tadika kira-kira 10 tahun lalu.

“Walaupun tak pandai bisnes tadika, saya beli tadika. Dalam masa 10 tahun bisnes ini berkembang dari RM150,000 jadi bernilai RM200 juta.

“Banyak juga perniagaan lain yang saya beli seperti kandang lembu dan bela 150 ekor lembu. Kemudian saya beli tadika kedua, berkongsi perniagaan kilang jahit pukal, ambil alih sebuah kompeni IT dan ada juga perniagaan seperti nasi lemak yang saya jadi rakan kongsi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, keadaan ekonomi yang perlahan ketika ini sebenarnya memberi banyak peluang kepada umat Islam untuk mengambil alih perniagaan yang berpotensi misalnya seperti Tesco dan terbaharu, Papparich.

“Masa Tesco hendak dijual dahulu saya kata, kalau kita boleh ambil-alih Tesco, memang best. Risikonya memang besar tetapi kalau dihimpunkan sejuta Muslim yang melabur seorang RM1,000, kita dah ada lebih RM1 bilion.

“Cukup 3 bulan, kita boleh ambil-alih. Banyak lagi aset yang ada. Itulah yang Malakat dan Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) cuba lakukan,”ujarnya.

Beliau berkata, salah satu daripada kelebihan pengambil alihan perniagaan adalah peluang penjimatan terutama selepas mengambil kira perbelanjaan renovasi yang tinggi jika sesebuah premis perniagaan ‘dibuka dari zero’.

“Mari saya buat anggaran kasar; kos renovasi bagi sebuah outlet makanan ialah sekurang-kurangnya RM1 juta. Kalau 100 outlet tentulah RM100 juta. Jadi kalau kita beli Papparich dengan nilai RM37 juta, kita dapat diskaun RM63 juta!

“Dan kalau kita nak buka 100 cawangan dalam tempoh setahun, ia bukan kerja yang senang,”katanya.

Yang paling penting katanya, peluang yang ada pada ketika ini perlu direbut sebelum pasaran dibuka semula sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Memanglah sekarang tak ada orang buka medan selera. Tapi kita bukannya membeli buat masa sekarang.

“Kita perlu bersedia sebelum pasaran dibuka semula apabila berakhirnya PKP,” katanya yang turut menerima tawaran mengambil alih medan selera di pusat beli-belah Mitsui, Sepang.

Selain itu juga katanya, pengambi alihan sesebuah perniagaan melalui penyatuan dana juga memberi kelebihan kepada umat Islam untuk keluar daripada sistem riba dan tidak terkesan dengan komitmen sewa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here