Sektor kilang elektrik dan elektronik perlu berjalan – MOF

0
420
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kebenaran beroperasi bagi kilang elektrikal dan elektronik (E&E) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau lockdown adalah bagi demi kelangsungan infrastruktur kritikal di seluruh dunia.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menjelaskan, Malaysia merupakan antara pengeluar utama komponen E&E yang penting dalam penghasilan barangan sektor itu dan telah memudahkan urusan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baru.

Sektor itu menurut MOF sebaris dengan sektor perkhidmatan peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan, sistem bekalan air dan grid tenaga, serta rangkaian pengangkutan dan telekomunikasi yang dibenarkan beroperasi.

“Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E. Sektor E&E menyumbang 40 peratus (atau RM386 bilion) kepada eksport tahunan Malaysia, dan kira- kira 7 peratus perdagangan semikonduktor global.

“Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan yang kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor yang kemudiannya dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut.

“Tambahan pula, pada 2020, sekitar RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan, yang mewujudkan 20,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan ada pihak yang mempertikaikan kepada kilang E& E masih dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan PKP penuh bermula semalam.

MOF menjelaskan, bagi mengekang penularan Covid-19, kerajaan akan memastikan kilang E&E mematuhi SOP dengan rapi di samping mematuhi syarat kebenaran 60 peratus tenaga kerja.

“Sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek, bukan sahaja akan menjejaskan bekalan keperluan industri di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

“Ini juga akan memberi kesan jangka panjang di mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia, dan menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0, apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here