Selangor lancar unit suntikan vaksin Covid-19 bergerak, bantu pesakit kronik

0
80
Dr Siti Mariah Mahmud

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor melalui Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) akan menubuhkan unit bergerak untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 kepada pesakit kronik yang terlantar di rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan jumlah penerima suntikan vaksin Covid-19 dan mewujudkan imuniti berkelompok.

“Saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) pun ada pasukan seperti ini tetapi jumlah tidak banyak dan mereka turut berdepan dengan beban kerja tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara bersama Media Selangor bertajuk ‘Langkah Terbaik Percepat Proses Imunisasi di Selangor’ yang disiarkan di Facebook.

Pelaksanaan SCVP dan suntikan vaksin secara berperingkat itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 semalam.

Menurut Dr Siti Mariah, golongan B40 yang belum divaksin antara kumpulan sasaran Kerajaan Negeri di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP).

Katanya, pemilihan akan dibuat melalui senarai Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas dan Kasih Ibu Smart Selangor.

“Selain itu, petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri seperti ketua kampung dan petugas pusat khidmat masyarakat juga diberi keutamaan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai program pemberian kit penilaian di rumah yang diumumkan melalui Pakej Kita Selangor, pihaknya akan memantau tahap kesihatan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 secara harian.

Katanya, pesakit akan dihubungi oleh sukarelawan terlatih untuk mengetahui keadaan kesihatan dan akan bertindak mengikut keperluan.

Katanya, selain itu pesakit juga perlu mengisi borang pertanyaan dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Alat pengukur tingkat oksigen antara peralatan dibekalkan dalam kit itu. Lazimnya jika bacaan kadar oksigen sekitar 96 hingga 100 peratus, maksudnya keadaan pesakit adalah baik, jika sebaliknya tindakan susulan perlu diambil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here