
TUMPAT- Pasukan Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan AM (PGA7) berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 50 ekor kambing yang diseludup dari Thailand.
Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata, lelaki berkenaan di tahan ketika memandu lori di Kampung Jubakar di Tumpat pada pukul 2 pagi.
Azhari berkata, siasatan awal yang dilakukan mendapati lelaki berumur 47 tahun itu sengaja memandu lori pada 2 pagi bagi mengelak terserempak dengan pihak berkuasa.
“Ketika diperiksa pemandu lori juga gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah berkaitan haiwan ternakan yang dibawa.
“Susulan itu pemandu lori dan kesemua kambing yang dibawa telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat Tumpat untuk tujuan laporan dan siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Jelasnya Azhari, kesemua 50 ekor kambing yang dirampas bernilai RM57,250 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori (RM45,000) adalah sebanyak RM102,250.
“Ia dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk bekalan tempatan di sini khususnya untuk sambutan Hari Raya Korban,” katanya.
Difahamkan, sebelum itu kambing dibawa masuk melalui Sungai Golok dengan diangkut menggunakan perahu.