Semakan keputusan SPM 2020 bermula 10 pagi esok

0
38
Seorang pelajar melakukan persiapan terakhir sebelum memasuki ke dewan peperiksaan semasa hari pertama peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway baru-baru ini.-foto/Farid Janudin

CYBERJAYA – Semakan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 boleh dibuat bermula pukul 10 pagi esok menerusi semakan secara dalam talian.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, semakan keputusan membabitkan 401,105 calon itu boleh dibuat secara dalam talian dan calon tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Katanya, calon akan menerima keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada SMS 68886 yang akan memaklumkan ringkasan keputusan itu dengan hanya memberikan gred diperoleh mereka.

“Selain itu, calon boleh membuat semakan menerusi pautan myresult1.moe.gov.my dan myresult2.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kementerian Pendidikan lagi, slip keputusan penuh boleh dimuat turun selepas empat hari pengumuman keputusan melalui pautan myresult3.moe.gov.my.

“Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, guru kelas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan menyenaraikan nama mereka sebelum hari keputusan.

“Seterusnya, guru kelas, JPN dan PPD akan memaklumkan keputusan SPM kepada mereka,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here