Lapangan terbang Tentera Udara India diserang dron

0
476
Pihak tentera mengawal laluan masuk ke lapangan terbang tentera yang turut digunakan untuk penerbangan komersial, di Jammu.

NEW DELHI – Serangan udara menggunakan dron menggegarkan pengkalan tentera udara India (IAF) di Jammu berhampiran tempat simpanan pesawat Mi-17, awal pagi semalam.

Salah satu daripada bahan letupan yang digugurkan dari pesawat udara tanpa pemandu (UAV) itu mengenai bumbung bangunan berdekatan dengan hangar pesawat manakala satu lagi meletup di kawasan terbuka.

Laporan media India mendakwa, dua anggota IAF cedera akibat serangan yang masih disiasat oleh pasukan IAF dan pakar data forensik itu.

Letupan yang boleh didengari dari jarak sejauh satu kilometer itu berlaku pada pukul 1.37 pagi dan yang kedua pada pukul 1.43 pagi, kira-kira 14 kilometer daripada sempadan India-Pakistan, memetik laporan NDTV.

Bagaimanapun, pihak berkuasa India masih tidak mengesahkan dari mana arah pesawat berkenaan diterbangkan sama ada dari sempadan atau dari lokasi tempatan.

Gambar hiasan

Sementara itu, Ketua Polis Jammu dan Kashmir, Dilbagh Singh berkata, pihaknya turut menemui bom yang tidak meletup dalam kejadian itu.

“Serangan ini dilakukan oleh pesawat pembawa atau dron yang mensasarkan aset tentera udara dan satu lagi dipercayai mensasarkan kawasan sesak,” katanya.

Undang-undang India memperuntukkan penangkapan dan penahanan suspek sehingga enam bulan tanpa bukti mengikut Akta Keganasan (Pencegahan) Anti-Keganasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here