Sesi persekolahan disambung secara PdPR bermula 13 Jun ini

0
50
Radzi Jidin

CYBERJAYA – Sesi persekolahan yang akan dibuka semula pada 13 dan 14 Jun ini akan meneruskan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari sehingga cuti penggal persekolah berikutnya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sesi pembelajaran selama 25 hari itu akan berjalan sehingga cuti Pertengahan Penggal yang bermula pada 16 Julai (kumpulan A) dan 17 Julai (kumpulan B).

“Selepas sahaja tamat sahaja cuti pertengahan penggal, sekolah akan diteruskan secara PdPR pada 13 (kumpulan A) dan 14 Jun (kumpulan B) untuk tempoh 25 hari persekolahan.

“Kemudian pada 16 Julai hingga 25 Julai, ada satu lagi cuti pertengahan penggal dan kemudiannya akan dibuka semula selepas 25 dan 26 Julai,” katanya pada sidang media khas pengoperasian sekolah hari ini.

Kumpulan A ialah Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala Kumpulan B melibatkan negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Katanya, ketetapan itu melibatkan semua sekolah termasuk sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat di seluruh negara.

“Ini bermakna sekolah-sekolah berkenaan yang berdaftar dengan KPM perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ini berdasarkan takwim masing-masing,”katanya.

Sementara itu katanya, bagi pelaksanaan selepas tempoh itu, Kementerian akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu lebih awal berdasarkan situasi pada waktu itu.

Radzi juga mengumumkan Ujian Lisan dan Amali Sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan pada Februari 2022 manakala Peperiksaan Bertulis pada Mac 2022

“Pengalaman kita dalam pelaksanaan SPM 2020 memberi kita keyakinan bahawa segala proses akan dapat berjalan lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here