
ALOR SETAR – Polis mengeluarkan kompaun kepada seramai 13 jemaah yang sedang melaksanakan solat Jumaat di sebuah masjid di Seberang Kota, Kuala Kedah di sini, semalam selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pasukan pemantau Covid-19 dan Bahagian Penguat Kuasa dan Kawalan Negeri Kedah (BKK) Kementerian Dalam Negeri menerima maklumat berhubung solat Jumaat itu yang dibuat melebihi kapasiti dibenarkan.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati jemaah sedang mendengar khutbah dan polis membenarkan mereka melaksanakan solat sehingga selesai sebelum tindakan diambil.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 34 individu di dalam masjid, iaitu melebihi jumlah jemaah dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu hanya 13 individu saja dibenarkan menunaikan solat Jumaat.
“Berikutan itu, kompaun RM1,500 setiap seorang terpaksa dikeluarkan terhadap 13 individu berusia antara 18 hingga 82 tahun kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan.
“Selain itu, kita turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pengurusan masjid berkenaan kerana gagal melaksanakan SOP apabila membenarkan lebih individu berada di dalam masjid,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia .
Ahmad Shukri berkata, sebahagian jemaah lain tidak dikompaun dan dibenarkan pulang kerana ada dalam kalangan mereka adalah kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang nyanyuk.
“Berdasarkan pemeriksaan, semua jemaah menunaikan solat mengikut jarak fizikal yang ditetapkan dan memakai pelitup muka. Akan tetapi, mereka tidak patuh SOP kerana menunaikan solat lebih dari jumlah ditetapkan.
“Berdasarkan maklumat pihak masjid, ini kali pertama masjid itu dikunjungi lebihan jemaah kerana pada minggu lalu, hanya 13 orang saja yang datang menunaikan solat Jumaat.
“Kebanyakan mereka yang dikompaun adalah penduduk yang tinggal di sekitar masjid berkenaan. Sehubungan itu, kita harap semua masyarakat patuh SOP yang ditetapkan kerana kita sudah setahun tiga bulan mengharungi situasi Covid-19,” katanya.
Ahmad Shukri berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 11(3) Peraturan Pengawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPDPP).