SPM 2020 cipta sejarah, 5 juta kertas peperiksaan diperiksa secara online

0
45
Datuk Dr Radzi Jidin

CYBERJAYA – Buat pertama kali kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mencipta sejarah apabila diperiksa secara dalam talian sepenuhnya berikutan penularan wabak Covid-19.

Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penularan jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan kaedah baharu bagi membolehkan calon dapat menduduki peperiksaan dan mendapat keputusan dengan segera.

“Kita tahu bahawa dalam konteks pelaksanaan PKP, pergerakan adalah terhad selain risiko sekiranya guru berkumpul untuk membuat pemarkahan. Maka kita berbincang untuk membolehkan guru pemeriksa membuat pemeriksaan kertas peperiksaan secara dalam talian.

“Buat pertama kali dalam sejarah, semua kertas peperiksaaan SPM diperiksa secara dalam talian kecuali seni visual.

“Ini merupakan perubahan ke arah kebaikan yang kita laksanakan dalam tempoh singkat tetapi penuh teratur dan terancang,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan Sidang Media Keputusan SPM 2020 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata, sebanyak lima juta skrip kertas peperiksaan diimbas dan dimuat naik ke dalam sistem yang disediakan KPM.

Menurutnya, skrip kertas peperiksaan itu boleh diakses oleh semua guru pemeriksa di seluruh negara untuk melaksanakan pemarkahan.

“Alhamdulillah penggunaan kaedah ini mempercepatkan banyak proses namun ia bukan mudah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here