SPM: Siapa dapat 5A, PU Riz bagi RM300

0
253
Pu Riz

CYBERJAYA – Wang tunai RM300 untuk pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Itu hadiah atau ganjaran yang diberikan pendakwah bebas dan selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.

PU Riz berkata, ibu bapa yang mempunyai anak atau pelajar itu sendiri boleh terus menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram berserta bukti slip keputusan SPM mereka.

“Saya mencari pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan semalam. Mereka hanya perlu DM saya berserta slip keputusan bakal menerima hadiah daripada saya.

“Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang.

“Saya tahu nilai ini tak besar, tapi apa saya cuba nak sampaikan adalah setiap usaha itu pasti akan peroleh kebaikan dan ganjaran. Buktinya mereka sudah belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang. Kemudian dapat pula ganjaran hadiah,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

PU Riz yang juga suami kepada selebriti popular, Neelofa turut menjemput semua pelajar yang terpilih itu menyertai sesi siaran langsung di Instagram @hrisbismail pada pukul 1 petang, esok.

“Saya memberi peluang kepada mereka untuk turut serta dalam sesi ‘live’ bersama saya. Sedikit sebanyak mereka boleh berkongsi tips pembelajaran atau apa saja yang diamalkan sehingga mendapat keputusan cemerlang.

“Saya anggap perkongsian ini nanti bukan saja berguna pada semua yang menonton, tapi dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki SPM akan datang

“Mana tahu perkongsian ini nanti dapat menjadi asbab kepada kejayaan ramai pelajar pula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here