Sultan Selangor terkejut vaksin diterima negeri itu terlalu sedikit

0
251
Sultan Sharafuddin turut mencadangkan pusat vaksinasi secara pandu lalu dilaksanakan di negeri itu. – Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut mengenai penerimaan jumlah dos vaksin Covid-19 di negeri ini yang disifatkan masih terlalu rendah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda Sultan yang berdukacita melihat angka kes positif yang masih tinggi di Selangor berharap bekalan vaksin untuk rakyat dipercepatkan.

Titah baginda, penerimaan 615,210 dos vaksin Covid-19 yang diterima Selangor sehingga 1 Jun lalu jauh lebih rendah berbanding populasi keseluruhan penduduk berjumlah 6.5 juta.

Sedangkan, jumlah peruntukan dos vaksin untuk negeri itu didakwa sebanyak 2.9 jugta dos.

Sehubungan itu, baginda mahu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepatkan tambahan bilangan dos vaksin berkenaan.

“Baginda menegaskan adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta.

“Selain itu, baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, penambahan jumlah vaksin itu penting demi menjamin keselamatan rakyat Selangor yang kini berdepan dengan risiko jangkitan termasuk kes-kes sproradik.

Pada masa sama, baginda mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri Selangor ditambah khususnya di kawasan luar bandar.

“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

“Pada masa sama, baginda turut memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here