
CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia telah menyerahkan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu atas tuduhan eksploitasi seks terhadap kanak-kanak dan beberapa kesalahan lain.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan berkata, suspek yang dikenali sebagai Scott Barry Uchida dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Subang pada Rabu lalu dengan menaiki pesawat tentera AS.
Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Selangor pada 21 April lalu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dipindahkan ke Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).
Hasil siasatan mendapati tiada laporan mengenai kesalahan seksual yang dilakukan tertuduh di negara ini, kata Abdul Jalil dalam satu kenyataan malam tadi.
Abdul Jalil berkata Uchida berjaya memasuki Malaysia kerana dia hanya dikehendaki di AS dan tidak ada Notis Merah Interpol yang dikeluarkan terhadapnya.
Polis melakukan penangkapan itu setelah menerima permintaan daripada FBI untuk mendapatkan bantuan.

Menurut kenyataan dari FBI pada Rabu lalu, Uchida merupakan salah seorang daripada dua lelaki yang dikehendaki dalam kes rogol dan eksploitasi seks komersial terhadap tiga remaja.
Jenayah itu didakwa dilakukan antara musim panas 2015 dan Januari 2018.
“Seorang mangsa berumur 15 tahun melaporkan kepada seorang pegawai Jabatan Polis Kirkland (pada bulan Januari 2018) bahawa dua lelaki telah merogol, memaksanya melakukan pelacuran dan membuatnya mempromosikan orang lain.
“Uchida yang merupakan salah seorang lelaki berkenaan menemui mangsa melalui aplikasi media sosial meetme.com ketika berusia 12 tahun.
“Uchida membawa mangsa ke sebuah pangsapuri di Seattle di mana dia mengancam akan melakukan kekerasan terhadapnya dan ahli keluarganya dan menahannya tanpa kerelaan.
“Pada bulan Mac 2021, Jabatan Polis Kirkland meminta bantuan FBI Seattle untuk mengesan Uchida, yang dianggap telah melarikan diri dari negara ini, ” kata FBI.