
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan itu dilakukan Tajuddin semasa mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan tren di Stesen LRT KLCC, Kuala Lumpur pada 25 Mei lalu.
“Kertas siasatan kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh beliau (Tajuddin) telah dikembalikan dari Pejabat Jabatan Peguam Negara, Putrajaya pada Selasa dengan keputusan kompaun sebanyak RM1,500.
“Ini atas kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak itu susulan video yang tular di media sosial menunjukkan beliau tidak memakai pelitup muka.
Pada sidang media berkenaan, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.
Pada 27 Mei, Mohamad Zainal mengesahkan telah memanggil Tajuddin untuk dirakam keterangan.