Tan Cheng Hoe terima khabar duka beberapa jam sebelum bertemu Vietnam

0
877

Ucapan takziah daripada FAM

CYBERJAYA – Persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan antara hidup dan mati bertemu Vietnam awal pagi ini dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dikejutkan dengan berita sedih apabila bapa kepada jurulatih negara, Tan Cheng Hoe meninggal dunia sebentar tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan melalui laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga jurulatih kebangsaan itu.

“FAM mengucapkan takziah kepada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe atas pemergian bapanya, Tan Chooi Siak, 95, pada hari ini, Jumaat 11 Jun 2021,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, warga maya turut mengucapkan takziah kepada pengendali Harimau Malaya itu dan berharap beliau tabah menghadapi dugaan berat itu.

Menurut akaun Facebook, Muhammad Fuad Ahmad Suhaimy, dia berharap pemain-pemain skuad Harimau Malaya dapat membalas pengorbanan yang ditunjukkan oleh jurulatih negara itu ketika ini.

Tan Cheng Hoe

“Takziah Coach TCH, semoga tabah hadapi dugaan ini. Kepada pemain bermain dengan penuh semangat demi Malaysia dan hargai pengorbanan Coach TCH yang kehilangan ayahnya,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Hazwan As’ari, dia berharap skuad negara dapat menjelmakan berita gembira buat jurulatih negara itu dengan menewaskan skuad Vietnam awal pagi nanti.

“Harap Coach TCH boleh menangis kegembiraan mlm ni. Ayuh Harimau Malaya, jadilah pengubat luka TCH mlm ni,” katanya.

Skuad Harimau Malaya yang dijadualkan bertemu Vietnam pada pukul 12.45 pagi esok waktu Malaysia perlu menang dalam perlawanan tersebut bagi menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun tugas getir menunggu skuad negara apabila kali terakhir skuad kebangsaan berjaya menewaskan Vietnam adalah ketika saingan Piala AFF pada 2014 dan selepas itu Malaysia tewas empat kali serta seri sekali.

Lebih membimbangkan apabila sepanjang Vietnam di bawah kendalian jurulatih berasal dari Korea Selatan, Park Hang-Seo, mereka belum pernah tewas dalam mana-mana perlawanan dalam aksi kelayakan tersebut dan kini berada di terangga teratas Kumpulan G.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here