Tempoh tiga hari diberikan untuk dapatkan surat terkini dari MITI

0
218
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (kanan) melakukan tinjauan semasa Ops Khas Pemantauan SOP PKP 3.0 di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya. – foto/FaridJanudin

PETALING JAYA – Tempoh tiga hari diberikan kepada orang ramai dan syarikat bagi mendapatkan surat terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, surat itu untuk kebenaran bekerja serta beroperasi dalam ‘ total lockdown’ yang berkuat kuasa hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam tempoh tiga hari itu, pihaknya memberi kelonggaran dan tidak akan mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menggunakan surat kebenaran lama.

“Kita beri peluang tiga hari yang bermula hari ini hingga 3 Jun, ia selaras dengan arahan dikeluarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed. Selepas tempoh itu, kami tidak akan berkompromi lagi.

“Kami akan terus mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang tiada surat berkaitan untuk menjalankan operasi dan melalui sekatan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, tindakan tegas perlu diambil dan masyarakat perlu faham kerana penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh bermula hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada MITI.

Acryl Sani dipetik berkata, surat kebenaran pergerakan dikeluarkan MITI ketika PKP sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

Terdahulu hari ini, Mohamad Fakhrudin mengetuai pasukannya untuk melaksanakan Ops Pemantauan Lockdown Sektor Perkilangan dan Perkhidmatan di kawasan Petaling Jaya.

“Saya berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dijalankan hari ini, kilang-kilang mematuhi segala yang ditetapkan termasuk pengurangan jumlah yang datang bekerja di kilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here