TH tangguhkan semua operasi berkaitan haji

0
32

CYBERJAYA – Tabung Haji (TH) hari ini mengambil keputusan untuk menangguhkan segala operasinya berkaitan pengerjaan ibadah haji.

Kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, keputusan itu berikutan keputusan Arab Saudi untuk tidak membenarkan jemaah luar mengerjakan haji pada tahun ini.

“Walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, TH menerima keputusan yang telah dibuat oleh pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.

“Keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia tahun ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19,” kata Amrin dalam satu kenyataan.

Beliau turut menambah, TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah Malaysia sejak dahulu.

TH pada masa yang sama turut menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Kerajaan Malaysia dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang lalu.

“Bagi bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan haji pada tahun 2021, mereka sekarang akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2022.

“Bagi bakal haji yang gilirannya pula adalah pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” tambah Amrin.

Badan penyelaras haji rakyat Malaysia itu juga turut menasihati umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

“TH memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan,” kata Amrin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here