Tiada kes miokarditis dan perikarditis susulan penggunaan vaksin Pfizer di Malaysia – Dr. Noor Hisham

0
89

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merumuskan penggunaan vaksin Covid-19 jenis mRNA tidak terjejas walaupun laporan luar negara mengaitkannya dengan risiko miokarditis dan perikarditis.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, penilaian risiko yang dijalankan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan maklumat badan-badan regulatori dan rujukan antarabangsa merumuskan bahawa profil keselamatan vaksin ini kekal positif.

“Manfaat semasa bagi pemberian vaksin ini adalah jauh melebihi risikonya,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Buat masa ini, hanya satu jenis vaksin mRNA diberi kelulusan bersyarat untuk digunakan dalam negara, iaitu Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Sehingga 13 Jun, sebanyak 2,793,826 dos vaksin Comirnaty diberikan kepada rakyat Malaysia, dengan 1,676,959 diberi sebagai dos pertama, dan selebihnya adalah dos kedua.

“Sehingga kini, tiada laporan kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) spesifik untuk miokarditis/perikarditis yang diterima oleh NPRA/KKM,” kata Dr. Noor Hisham lagi.

Untuk rekod, miokarditis merupakan radang pada otot jantung, manakala perikarditis pula merujuk kepada randang pada lapisan luar jantung.

Simptom atau gejala yang dikaitkan dengan miokarditis atau perikarditis termasuk sakit dada, perubahan pada kadar degupan jantung serta kesukaran untuk bernafas.

“KKM akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan…bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin sentiasa terjamin,” tambah Dr. Noor Hisham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here