
CYBERJAYA – Rakyat negara ini tidak diberikan pilihan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 kerana kelonggaran itu akan membantutkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menerima pandangan dan permintaan untuk membenarkan orang ramai memilih sendiri jenis vaksin yang dikehendaki tetapi perkara itu akan melambatkan proses imunisasi dilaksanakan.
“Ia cuma satu cadangan untuk dipertimbangkan tapi kerajaan tidak pernah memberikan pilihan kerana jika kita tengok sehingga hari ini, kes meningkat dengan mendadak.
“Lebih baik kita bagi apa sahaja yang ada . Kalau diberikan pilihan ia akan melambatkan proses vaksinasi,” katanya pada sidang akhbar mingguan PICK yang turut disertai oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.
Khairy berkata demikian bagi mengulas cadangan kewajaran kerajaan memberikan pilihan jenis vaksin untuk diterima oleh setiap individu.
Sementara itu katanya, sebanyak 2,913,3009 dos vaksin sudah diberikan di seluruh negara setakat ini dengan 1,860,864 individu menerima suntikan pertama manakala 1,054,145 lagi sudah melengkapkan dos.
Menurutnya, kadar vaksinasi negara sekali lagi telah mencecah 100,000 dos sehari pada Khamis lalu iaitu sebanyak 107,340 dos.
Ujar beliau, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) telah beroperasi.
“Saya percaya selepas cuti hujung minggu yang berbeza di negeri-negeri antara Jumaat hingga Ahad, angka tersebut akan kembali konsisten,” katanya.
Menurut Khairy, PICK merekodkan 12,117,091 pendaftaran vaksin yang mana jumlah itu melebihi kadar 50 peratus populasi negara berusia 18 tahun.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,114,839 atau 60.38 peratus adalah pendaftaran daripada warga emas,” katanya.
Dalam perkembangan itu, Khairy berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan kelonggaran untuk merentas negeri bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, namun masih tiada perincian mengenainya.