Tiga lelaki rakyat tempatan persenda azan, ayat al-Quran mohon maaf

0
879
Seorang lelaki dikenali sebagai Ruben membuat gaya melaungkan azan dalam satu video yang tular

CYBERJAYA – Selepas timbul isu seorang lelaki mempersenda nama Allah ketika memesan makanan, kini tular pula sebuah video apabila sekumpulan lelaki mempersenda laungan azan dan ayat suci al-Quran.

Dalam video berdurasi 31 saat itu kesemua mereka yang berada dalam sebuah rumah dilihat sedang berada di meja makan bersama seorang lagi wanita.

Menyedari video yang tular itu seolah-olah mempersenda azan dan ayat suci al-Quran, tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam rakaman video itu tampil membuat permohonan maaf.

Salah seorang pemuda terbabit yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ruban berkata, dia memohon maaf kepada semua umat Islam di atas kesilapannya.

“Saya tiada niat perli umat Islam. Dalam video itu saya tidak boleh menahan kepedasan apabila kami mengadakan “challenge” (makan pedas) lalu saya letak kedua-dua tangan di telinga dan pada masa itu kawan saya suruh saya mengulanginya sambil membuat (rakaman) video.

“Dia melafazkan ayat yang memang tidak sepatutnya. Saya kecewa atas apa yang berlakunya dalam video tersebut. Saya memohon maaf di atas kesilapan kami dan berjanji tidak mengulanginya lagi,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya semalam.

Rakannya yang hanya dikenali sebagai Brandon Eng pula berkata, dia sebagai individu yang merakam video itu turut memohon maaf di atas kesilapan yang dia lakukan.

Menurutnya, dia merakam video itu untuk tujuan ‘main-main’ dan tidak tahu ia sesuatu yang serius.

“Saya sepatutnya tidak boleh melafazkan ayat tersebut. Tolong maafkan kami dan kami tidak akan melakukan perbuatan seperti ini selepas ini,” katanya.

Seorang lagi pemuda dikenali sebagai Ryan berkata, dia berasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam rakaman video tersebut.

Katanya, dia dan rakan-rakannya menghormati dan mencintai semua agama di Malaysia, maka mereka meminta maaf dengan sepenuh hati.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here