Timbalan Speaker mohon maaf hadir ‘pesta durian’ ketika lockdown

0
287
Gambar yang tular dalam media sosial menunjukkan beberapa individu termasuk Datuk Mohd Rashid Hasnon sedang menikmati durian di Batu Pahat

CYBERJAYA – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memohon maaf selepas tersebar video menunjukkan dirinya bersama beberapa individu lain melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kebun durian di Batu Pahat pada Ahad lalu.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, beliau memohon maaf atas kekhilafan berkenaan dan menyerahkan siasatan lanjut serta berjanji untuk memberikan kerjasama kepada polis.

“Kekeliruan timbul apabila terdapat beberapa media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan itu tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk menganalisa video yang terkait pada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sejak PKP pertama hingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman berikutan jualan yang merosot.

“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam adalah lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini.

“Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan Menteri untuk dibawa pulang,” katanya.

Selepas rombongan Menteri pulang, dia dibawa ke kebun oleh seorang pengusaha pada waktu petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

Sampai di kebun, pengusaha kebun durian berkenaan menghidangkan durian kepada kami dan saaya hanya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan.

“Selepas perbincangan tamat, saya terus meninggalkan program awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Semalam, Mohd Rashid menafikan video tersebut merupakan video baharu dan memberitahu ia merupakan video lama sebelum PKP.

Bagaimanapun, alasan tersebut memerangkap diri apabila warga maya mula melakukan siastan sendiri dan mendapati video itu baru dirakamkan beberapa hari lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here