Tok Pa mohon maaf langgar SOP makan di kafe

0
398
Foto yang tular di media sosial yang menunjukkan Tok Pa makan di sebuah kafe ketika PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memohon maaf di atas kesalahannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika makan di sebuah kafe di Jeli, Kelantan pada Sabtu lalu.

Menurut pejabat kementeriannya dalam satu kenyataan, perkara itu telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Berikutan tersebarnya gambar mengenai kehadiran beliau di kafe tersebut, Ketua Polis Daerah Jeli menghubungi beliau tengah hari tadi memaklumkan bahawa kertas siasatan telah pun dibuka mengenai perkara ini.

“Beliau memohon maaf atas pelanggaran SOP ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ketika itu Mustapa atau lebih mesra disapa Tok Pa telah singgah di Alfath Café di kampung berkenaan pada pukul 5.30 petang.

“Beliau singgah di kafe itu untuk melihat bagaimana pemiliknya yang juga anak muda berusia 26 tahun berjaya meneruskan perniagaannya walaupun berdepan dengan PKP 3.0.

“Anak muda ini menggunakan sepenuhnya media sosial untuk memasarkan menu yang berasaskan makanan barat.

“Datuk Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di kafe itu,” katanya.

Terdahulu tular gambar mengenai kehadirannya di sebuah kafe yang terletak di Kampung Kalai di media sosial.

Dalam gambar itu kelihatan Tok Pa sedang menjamu selera dengan beberapa orang lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here