TUDM pintas pesawat tentera China masuki ruang udara ZMM di Sabah

0
3150

CYBERJAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya mengesan penerbangan mencurigakan melibatkan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF), semalam.

Kata TUDM dalam satu kenyatan, kesemua pesawat itu dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Gambar sebenar pesawat Ilyushin Il-76 milik PLAF yang berjaya diterbang pintas TUDM, semalam. – GAMBAR IHSAN TUDM

Pesawat-pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki hingga 27,000 kaki dalam formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.

“Sehubungan itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM,” kata kenyataan itu.

TUDM kemudiannya melancarkan kumpulan pesawat pemintas bagi identifikasi visual setelah arahan yang diberikan pusat kawalan tidak dipatuhi.

Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20

Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara di dalam laluan penerbangan di dalam KK FIR.

“Insiden ini telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN),” kata kenyataan itu sambil menambah, Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here