Ujian saringan sama penting dengan vaksinasi -MB Selangor

0
30
Seorang kanak-kanak ditemani bapanya menjalani ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor meletakkan kepentingan yang sama bagi program ujian saringan Covid-19 dan program vaksinasi kepada rakyat sehingga imunisasi kelompok (herd comunity) dicapai.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehubungan itu kerajaan akan meneruskan Program Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Percuma dalam komuniti walaupun ada pihak yang mahu usaha ditumpukan pada program vaksinasi.

“Tindakan Kerajaan Negeri ini adalah berasaskan kepada strategi FTTIS yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu (cari) find, (uji) test, (kesan) trace, (pengasingan) isolate dan (sokongan) support.

“Strategi ini bermatlamat untuk mengesan pembawa virus (silent carriers) dalam kalangan komuniti dan memutuskan rantaian jangkitan wabak,” katanya dalam pengumuman Pakej Kita Selangor 2.0 petang ini.

Amirudin Shari ketika menerima dos vaksin Covid-19 pada Februari lalu.

Amirudin berkata, pendekatan saringan dan vaksinasi itu terbukti berkesan seperti yang telah dilaksanakan di United Kingdom walaupun telah mencapai kadar vaksinasi 59 peratus.

Katanya, sejak tahun lalu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Percuma melalui dua fasa.

“Mengambil kira kejayaan ujian saringan percuma ini, kerajaan Negeri akan melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 Percuma Fasa 3 dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh Selangor.

“Fasa 2 yang bermula pada 8 Mei di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada 10 Jun ini.

“Sehingga 8 Jun 2021, seramai 117,314 individu telah menjalani ujian saringan Covid-19 Fasa 2,” katanya.

Jelasnya, bagi Fasa3, dua strategi yang akan diberikan tumpuan adalah di kawasan hotspot kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here