
GAZA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew bersama pasukannya kini selamat memasuki wilayah Gaza, Palestin.
Beliau memaklumkan perkara itu menerusi laman Facebook miliknya sebentar tadi.
Katanya, rombongannya yang dalam misi kemanusiaan untuk membantu penduduk Gaza diiringi masuk ke wilayah itu dengan bantuan tentera Mesir dengan kereta berperisai sepanjang perjalanan.
“Menurut kedutaan Malaysia dan unit perisikan tentera Mesir kami team pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang 2021 baru ini.
“Mesir sendiri telah banyak memberi bantuan dan mengetuai dalam membangunkan Gaza. Ada lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang memohon. Sebahagian ada di Mesir. Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya.
Pada 25 Mei lalu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit berlepas ke Kaherah, Mesir untuk membantu penduduk Gaza yang sedang menderita kesan daripada pertempuran dengan rejim Zionis bulan lalu.
Bagaimanapun, selepas itu tiada sebarang perkembangan mengenai dirinya dikemaskini menerusi laman media sosial
seperti kebiasaan sehingga menimbulkan tanda tanya banyak pihak.
Dalam pada itu, Ebit memohon maaf tidak mengemaskini situasi terkini rombongannya atas faktor keselamatan.
“Saya minta maaf tidak update sebelum ini atas faktor keselamatan. Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent.
“Ramai berebut untuk menyambut. Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin. Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” ujarnya
Sementara itu, Ustaz Ebit turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Wisma Putra, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pertubuhan Bulan Sabit Merah, kerajaan Mesir dan Kedutaan Malaysia di Mesir yang banyak membantu menjayakan misi kemanusiaan itu.-MT