
CYBERJAYA – Vaksin CanSino yang merupakan vaksin suntikan satu dos sesuai untuk digunakan dalam pelan imunisasi penduduk di pedalaman Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, vaksin yang telah mendapat kelulusan bersyarat dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) itu dapat mengurangkan perbelanjaan, masa perjalanan dan kesulitan selain memudahkan tugas pasukan perubatan.
“Di Sarawak, kita mempunyai penduduk yang tinggal secara berselerak di kawasan yang luas di pedalaman di mana pengangkutan bukan sahaja menjadi masalah tetapi (kosnya) juga mahal,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengumumkan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi dua lagi vaksin, iaitu yang dibangunkan CanSino Biologics di China dan Johnson & Johnson di Amerika Syarikat, untuk digunakan di negara ini.
KKM turut mengumumkan kelulusan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech kepada golongan berumur 12 tahun ke atas yang sebelum ini hanya dibenarkan untuk umur 18 tahun ke atas.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata, JPBN telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan pusat untuk pengagihan vaksin yang bersesuaian ke Sarawak sebaik sahaja bekalan tersedia.