Varian Afrika Selatan makin mengganas, hampir terdapat di semua negeri

0
291
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi amaran jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti boleh menjadi bertambah serius selepas pihaknya mengenalpasti sebanyak 119 kes yang dijangkiti Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes adalah jangkitan import daripada luar negara, manakala 105 kes lagi adalah jangkitan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah 119 kes yang dikesan tersebut, 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.

“VOC yang dilaporkan adalah melibatkan 89 kes varian B.1.351 atau varian Afrika Selatan yang kesemua kes jangkitan dalam negara.

“Sembilan kes adalah varian B.1.1.7 (varian UK) yang mana melibatkan lima kes jangkitan import dan empat kes jangkitan dalam negara serta enam kes varian India B.1.617 yang kesemuanya jangkitan import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu diperoleh hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan sehingga kini.

Lebih membimbangkan katanya, apabila virus jenis VOC itu telah dikesan di setiap negeri dalam Malaysia terutamanya bagi varian B.1.351.

Katanya, oleh itu, besar kemungkinan sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu.

“Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19.

“Sehubungan itu, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian data oleh Dr Noor Hisham, Selangor merekodkan semua jenis VOC dengan 33 kes melibatkan varian Afrika Selatan, lima kes varian UK dan tiga kes varian India.

Kes kedua tertinggi melibatkan varian Afrika Selatan ialah di Kelantan dengan 18 kes dan Perak 10 kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here