VOC sudah merebak ke seluruh negara

0
135
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 119 kes Covid-19 yang melibatkan jangkitan daripada Varian Yang Membimbangkan (VOC) dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI) telah dikesan di dalam negara dengan pengesanan varian VOC di semua negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih membimbangkan, penularan varian VOC itu berkemungkinan telah menular secara meluas dalam komuniti.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pengesanan jangkitan virus SARS-CoV-2 itu merupakan hasil daripada bancian genomik yang dijalankan secara berterusan.

Katanya daripada jumlah itu, 14 kes adalah jangkitan dari luar negara, manakala 105 kes jangkitan tempatan dengan 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.

“VOC yang dilaporkan adalah melibatkan 89 kes varian B.1.351, sembilan kes varian B.1.1.7 dan enam kes varian B.1.617, manakala VOI pula melibatkan 12 kes varian P.3 dan tiga kes varian B.1.525,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau menyeru setiap individu di negara ini supaya memandang serius situasi itu dan mengambil langkah untuk mengelak penularan.

“situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu dan sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

Dr Noor Hisham berkata, selain pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula esok, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) juga akan terus dilaksanakan bagi kawasan-kawasan dengan pelaporan kes yang tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here