Wan Kuzain ‘pujuk’ ibunya untuk beri izin wakili Harimau Malaya

0
279
Wan Kuzain Wan Kamal kini beraksi di posisi tengah menyerang bersama pasukan RGV Toros

CYBERJAYA – Hasrat peminat bola sepak untuk menyaksikan pemain berbakat besar, Wan Kuzain Wan Kamal memperkuatkan skuad Harimau Malaya mungkin bakal menjadi kenyataan apabila pemain kelahiran Amerika Syarikat itu sedang mempertimbangkan secara serius hasrat tersebut.

Berdasarkan perkongsian ayahnya, Wan Kamal menerusi satu komen dalam laman Facebook miliknya, anaknya itu pernah memberitahu ibunya mengenai hasratnya untuk mewakili pasukan Harimau Malaya.

“Insya-Allah, Kuzain ada bercakap dengan ibunya baru-baru ini mengenai hasratnya untuk membantu Harimau Malaya dalam saingan antarabangsa,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu beliau berkongsi sekeping gambar Wan Kuzain yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika pasukannya menentang pasukan Real Monarchs SLC.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal yang dijaringkan Wan Kuzain berjaya menewaskan pasukan SLC.

Mengulas lanjut, Wan Kamal berkata, Wan Kuzain yang kini berusia 22 tahun bermain di posisi tengah menyerang untuk kelab RGV Toros.

Selain itu, beliau berkata, anaknya itu juga boleh bermain di posisi tengah bertahan apabila pernah bermain di posisi tersebut ketika bermain dengan pasukan Sporting KC.

Nama Wan Kuzain yang pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan bawah 22 (B-22) tahun pada 2019 bagi menghadapi Sukan SEA timbul semula selepas skuad Harimau Malaya berjaya membawa pemain Malaysia-Belgium, Dion Cools untuk membantu skuad kebangsaan itu.

Tangkap layar dari Twitter Wan Kuzain yang meletakkan emoji seperti berfikir untuk menyertai skuad negara selepas Dion Cools menyertai Harimau Malaya baru-baru ini

Berita mengenai Cools itu turut mendapat perhatian Wan Kuzain yang meletakkan emoji seperti berfikir dalam laman Twitternya.

Perkembangan baharu itu turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan yang berharapkan pemain berbakat besar itu dapat menyertai skuad Harimau Malaya selepas ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here