Wanita maut selepas dibedah doktor palsu

0
121
Hospital Mayo di Lahore, Pakistan.

LAHORE – Seorang pesakit wanita maut selepas dibedah oleh seorang pengawal keselamatan yang menyamar menjadi doktor di Hospital Mayo.

Dalam kenyataan dikeluarkan, pihak pengurusan hospital mengakui tidak mengetahui mengenai prosedur pembedahan yang telah dilakukan oleh doktor palsu berkenaan kerana jumlah kakitangan yang terlalu besar.

“Pihak hospital masih menyiasat bagaimana suspek seorang pengawal keselamatan boleh mengambil alih tugas seorang doktor bedah,” menurut kenyataan itu.

Lebih menghairankan, operasi pembedahan tersebut dikatakan turut diserta oleh juruteknik bertauliah dalam bidang berkenaan.

Penyamaran Muhamad Waheed Butt terbongkar selepas pihak hospital melakukan autopsi untuk mengenal pasti sama ada kematiannya disebabkan oleh komplikasi pembedahan tersebut.

Dia dikatakan telah dipecat beberapa tahun lalu selepas didakwa memeras wang daripada pesakit.

Pada awal Mei lalu, seorang lelaki juga ditahan selepas menyamar sebagai doktor di Hospital Besar Lahore dan memeras wang daripada pesakit di wad pembedahan.

Polis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Shameema Begum, 80, meninggal dunia selepas kira-kira dua minggu menjalani pembedahan oleh Waheed Butt.

Menurut keluarga mangsa, selain menerima bayaran bagi pembedahan, ‘doktor’ berkenaan turut dibayar untuk dua rawatan susulan yang perlu dilalui mangsa di kediamannya.

Jurucakap pihak polis berkata, siasatan mendapati suspek pernah berkunjung ke rumah mangsa dan menerima wang daripada keluarga mangsa.

“Suspek kini ditahan pihak berkuasa,’ ujar jurucakap pihak berkuasa, Ali Safdar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here