Yang di-Pertuan Agong ulangi titah Parlimen perlu bersidang

0
137
Istana Negara

CYBERJAYA- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda berpandangan ia boleh diadakan dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Ahmad Fadil berkata, ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu katanya, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang. 

“Ini bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bersama timbalan masing-masing di Istana Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here