
CYBERJAYA – Malaysia menerima sebanyak satu juta dos vaksin AstraZeneca yang disumbangkan secara percuma oleh Jepun hari ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia amat berterima kasih kepada Jepun atas budi baik itu yang sekali gus menyerlahkan keakraban persahabatan dan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.
“Ia juga baukti bahawa nilai kemanusiaan sentiasa melangkaui batas-batas yang mungkin wujud terutama di era pandemik ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya.
Terdahulu, Hishamuddin bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menerima vaksin berkenaan.
Semalam, Khairy memberitahu sebanyak satu juta dos vaksin AstraZeneca yang disumbangkan Jepun akan tiba hari ini.
Pada masa sama, Khairy turut mengumumkan sebanyak satu juta lagi vaksin jenis yang sama akan disumbangkan oleh Amerika Syarikat
Vaksin sumbangan Amerika Syarikat itu dijangka tiba Jumaat ini.-MT