11 individu di Parlimen positif Covid-19

0
39
Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Ujian saringan Covid-19 yang dilakukan dalam kalangan petugas di Parlimen semalam mengesan 11 individu positif wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada ujian RTK-AG Saliva Test Kit sebanyak 10 individu dikesan positif manakala seorang lagi dikesan melalui ujian RT-PCR.

“Dua daripada mereka dikesan mempunyai gelaja ringan manakala selebihnya tidak bergejala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Dr. Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) dimaklumkan terdapat dua kes positif Covid-19 pada jam 12.30 tengah hari ini.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu dan dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Julai 2021 melalui ujian pengesahan RT-PCR yang dijalankannya di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk serta selesema,” katanya.

Katanya, kes kedua dikesan semasa saringan di Parlimen menggunakan ujian kendiri RTK- AG Saliva kerana beliau mengalami gejala batuk.

“Berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan kesemua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai menjalani ujian saringan dan kuarantin diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here