18 pekebun Musang King haram cetus provokasi ditahan

0
630
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang hadir untuk mempertahankan pekebun durian haram semasa Oerasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, kelmarin.

CYBERJAYA – Selain menerima provokasi dan ugutan, anggota penguatkuasa yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub semalam turut dihalang daripada memasuki dan meninggalkan kawasan berkenaan.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berkata, pasukannya berdepan detik sukar dan cemas ketika berdepan dengan pekebun durian haram yang tidak mahu memberi kerjasama.

Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu, provokasi yang dilakukan untuk menghalang tugas-tugas penguatkuasaan itu termasuk membuat halangan di laluan keluar masuk ke kawasan kebun durian Musang King berkenaan.

Berikutan itu, pihak berkuasa telah menahan 18 individu yang dipercayai pekerja kebun haram berkenaan kerana menceroboh kawasan hutan simpan dan membuat provokasi melampau kepada anggota.

Tangkap layar video kekecohan yang berlaku di salah satu kawasan tanaman Musang King di Raub, Pahang.

“Kesemua 18 yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan disiasat di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara.

“Beberapa laporan dan rakaman video telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan,” katanya hari ini.

Video pertelingkahan antara pekerja kebun durian dengan petugas operasi dan anggota pengkuasa yang tular semalam memaparkan sikap aggresif pekebun yang menengking petugas untuk menghentikan operasi.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang semalam mengumumkan melancarkan operasi memusnahkan kebun-kebun durian haram di tanah milik kerajaan yang dipercayai diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Operasi tersebut dikatakan melibatkan kawasan tanaman durian Musang King seluas 101 hektar yang sudah mula menghasilkan buah.

Setakat kelmarin, jabatan berkenaan mendedahkan 4 individu ditahan atas kesalahan menceroboh hutan simpan di bawah Akta Perhutanan 1984.

Turut disita dalam operasi itu adalah sebuah motosikal, sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah Land Rover.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here