
CYBERJAYA – Rakyat tidak perlu lagi berharap kepada pemimpin-pemimpin politik untuk menyelesaikan masalah negara ketika ini, kerana tempoh penularan Covid-19 selama hampir dua tahun telah membuktikan golongan itu hanya berjuang untuk berebut kuasa.
Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, krisis kepemimpinan politik negara yang semakin kritikal sejak penularan pandemik Covid-19 telah masuk ke fasa yang sangat mengecewakan.
Beliau berkata, kerakusan dan kegagalan para pemimpin dalam mentadbir negara telah mengakibatkan negara dan rakyat berada pada tahap paling ‘parah’ dengan penderitaan yang tidak lagi tertanggung.
“Kita telah pun membuang berbulan-bulan usaha berkurung secara sia-sia. Waktu terbaik menjelang hari raya puasa yang lepas telah tidak digunakan sepenuhnya apabila PKP tidak dilaksanakan secara tegas oleh kerajaan.
“Justeru, kebanyakkan kita telah hilang keyakinan terhadap kebolehan pimpinan politik yang memerintah negara, mengemudi negara menghadapi krisis pandemik Covid 19,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, Bina Semula Malaysia hari ini.

Kecewa dengan perkembangan itu Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, kerajaan seolah-olah sengaja tidak mahu mengembalikan Malaysia kepada keadaan normal demi kepentingan politik pihak tertentu.
“Kami rakyat melihat seolah-olah kerajaan memang mahu kes berterusan meningkat dan membunuh ekonomi rakyat semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik yang bagai telur di hujung tanduk!
“Saya bukan ingin menjadi batu api seperti dakwaan penyokong kerajaan sedia ada tetapi saya cuma ingin berusaha memperbetulkan kesilapan demi kesilapan yang berlaku di negara kita,” katanya.
Dalam hantaran itu, beliau turut mengemukakan analisa terhadap keadaan semasa negara.
Katanya, antara kesan yang paling membimbangkan adalah penutupan kira-kira 50 peratus perniagaan akibat langkah-langkah kerajaan yang tidak efisien dan bertanggungjawab sehingga membunuh ‘ekonomi rakyat’.
Sehubungan itu, Mohd Fadzil mengemukakan 5 Pelan Tindakan 90 Hari kepada rakyat negara ini untuk sama-sama memulih dan membangunkan semula ekonomi negara.
“Sebab itu saya menyatakan bahawa kita rakyat sudah tidak boleh menunggu orang politik menyelesaikan masaalah kita.
“Jadi apakah tindakan kita sebagai rakyat yang tidak berkuasa? Kita tak boleh paksa mereka yang berkuasa tetapi kita boleh mengubah tindakan kita,” katanya.
Pertama katanya, adalah melalui UNITE! iaitu penyatuan tanpa mengambil kira perbezaan organisasi, politik, agama dan bangsa.
Kedua adalah melalui penyatuan perbelanjaan, dengan memberi keutamaan kepada konsep ‘Buy Malaysian First‘ atau membeli barang dengan syarikat milik warga negara.
“Hentikan pembelian runcit di pasaraya asing yang tidak langsung membantu rakyat kita. Hentikan mengimport barangan yang mampu kita dapatkan di dalam negara. Hentikan atau kurangkan membeli di platform online yang dimiliki syarikat asing,” katanya.
Seterusnya adalah sumbangan strategik yang dapat digunakan untuk membantu rakyat yang terkesan dan memerlukan melalui penubuhan Dana Selamatkan Rakyat Malaysia.
Katanya, melalui sumbangan derma atau sedekah sebanyak RM10 sebulan, 6 juta keluarga di negara ini mampu mengumpul RM1.78 bilion sebulan yang dapat digunakan untuk tujuan bantuan.
Selain itu katanya, melalui sokongan pembelian dengan syarikat milik warga Malaysia, sumbangan 1 peratus kepada Dana Selamatkan Rakyat Malaysia mampu mengumpul dana sehingga RM18 juta sebulan.
“Kita jadikan dana ini satu sistem yang telus dan boleh dilihat oleh semua secara real time melalui Voucher Bantuan Keperluan Asas RAKYAT!,” katanya.
Keempat katanya adalah pelaburan dalam syarikat milik warga Malaysia melalui cadangan penubuhan Majlis Pelaburan Rakyat yang diurus secara telus dan memberi kuasa ‘Vote’ kepada rakyat yang melabur.
“Bayangkan sekiranya hanya T20 dan M20 melabur minima RM 1,000 kepada usahawan kita, Dana Invest Perniagaan akan mencecah RM 2.4 billion!
Dan terakhir sekali adalah melalui program Jom Sihat yang boleh dilancarkan di peringkat komuniti dengan menyedia dan menganjurkan pelbagai program kesihatan untuk rakyat.
“Ya memang bunyi terlalu perfect! Ya pastinya bukan mudah! Ya kita perlukan rakyat bersatu tanpa mengira ideologi!
“Dah 2 tahun dah kita tunggu! Ramai dah Saudara kita MATI! Ramai dah Saudara kita Hilang Pekerjaan! Ramai dah Saudara kita hilang perniagaan!
“Mulakan langkah pertama yang paling penting! Sertai Group Facebook Bina Semula Malaysia!,” katanya.