
CYBERJAYA – Sebanyak 27 premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan juga asrama pekerja.
Ismail Sabri berkata, arahan itu hasil daripada 88,183 pemeriksaan dan ‘snap check’ Covid-19 daripada pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam.
“Pemeriksaan itu juga dibuat ke atas 2,798 kilang, 17,349 premis perniagaan, 727 tapak pembinaan dan 211 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Justeru, daripada pemeriksaan pada Isnin (semalam), 27 premis meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja diarahkan tutup,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan, sebanyak 548 individu juga telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
“Daripada jumlah itu, seramai 539 individu dikompaun manakala sembilan lagi direman.
“Antara kesalahan yang direkodkan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk di premis, tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka,” katanya.
Dalam pada itu katanya, terdapat juga individu yang tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, membawa penumpang berlebihan dan lain-lain kesalahan lagi.