
CYBERJAYA – Sebanyak 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Perdana Menteri berkata, itu adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemberian vaksin telah berjaya menghasilkan penurunan kes-kes serius Covid-19.
“Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas.
“Kumpulan warga emas adalah Fasa 2 dalam pemberian vaksin Covid-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Menurut Muhyiddin, keputusan yang sama juga dilihat berdasarkan data petugas- petugas Kementerian Kesihatan, di mana mereka telah menerima vaksin Covid-19 lebih awal lagi.
“Hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti Covid-19 selepas lengkap divaksinasi, dan 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan, atau tidak bergejala, dan tiada yang mengalami Covid-19 kategori 5.
“Satu lagi contoh ialah di Labuan, lokasi di mana varian Delta pertama telah dikesan di negara ini. Peningkatan kadar vaksinasi di wilayah tersebut turut memperlihatkan pengurangan jumlah kes positif dan kematian akibat Covid-19.
“Penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa lebih 90 peratus kes positif Covid-19 di negara kita adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan kita.
“Ini bermakna, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula,” katanya lagi.3.5 juta