
TAWAU – Tiga daripada lima pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menceroboh masuk ke negara ini didapati positif Covid-19.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, pendatang haram itu yang menaiki bot penumpang bernombor pendaftaran tempatan itu ditahan pada pukul 11.45 malam semalam di kedudukan dua batu nautika barat daya Tanjung Batu, di sini.
Katanya, dalam rondaan Ops Cegah PATI Selatan Covid-19, bot peronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurikan dan berjaya menahan penceroboh selepas bot dipandu mereka terbalik.
“Hasil ujian saringan pengesanan awal (RTK) ke atas kesemua tahanan mendapati tiga daripada PATI itu positif Covid-19 dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
“Warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen itu terdiri daripada 2 lelaki dan 3 wanita yang berusia antara 15 hingga 58 tahun.
“Kami juga menahan jurugan bot berusia 17 tahun yang merupakan penduduk tempatan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Siva Kumar, PATI berkenaan ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laut yang tidak diwartakan.
Katanya, penahanan itu dibuat berdasarkan hasil risikan dan maklumat orang ramai mengenai ada penduduk tempatan yang menjalankan aktiviti membawa masuk PATI ke negara ini secara haram.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai khususnya masyarakat maritim menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.
“Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dengan cubaan membawa masuk warga asing ke negara ini.
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan dalam memastikan undang-undang negara dipatuhi sepenuhnya,” katanya.