
CYBERJAYA – Lima negeri iaitu Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu akan beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Isnin ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan tersebut setelah membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini.
“PPN ini memberi isyarat yang jelas apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membawa keluar negara dari
kemelut pandemik ini.
“Tahniah kepada lima negeri ini yang telah berjaya memasuki Fasa Dua PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Dalam pada itu, katanya, bagi Fasa Dua PPN pergerakan rentas daerah dan negeri adalah masih tidak dibenarkan.-MT