
SABAK BERNAM – Sebanyak 58.3 peratus guru di seluruh negara telah menerima suntikan sekurang-kurang dos pertama vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, usaha itu mengekang penularan wabak berkenaan, termasuk di institusi pendidikan.
Beliau berkata, daripada jumlah divaksin itu, sebanyak 39.98 peratus adalah guru-guru dari Selangor.
“Ada beberapa negeri sudah melepasi kadar 90 peratus vaksinasi Sebagai contoh, 94 peratus guru di Labuan sudah menerima vaksin kerana bilangannya tidak ramai.
“Namun, ada negeri mencatat kadar pemberian vaksin yang masih rendah dalam kalangan guru, antara lain Melaka dengan 19 peratus, setakat ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Terdahulu Muslimin hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra (KiSTARP).
Mengulas lanjut, Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi keutamaan vaksinasi kepada guru yang mengajar kelas peperiksaan, sebagai persediaan awal untuk pembukaan sekolah diumumkan kerajaan nanti.