
KUANTAN – Enam lori balak yang membawa muatan dalam keadaan berbahaya diarah berpatah balik semula ke pusat pengumpulan dalam satu operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), semalam.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) (JPNP), Dr Grippin Akeng dalam satu kenyataan berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati kaedah penyusunan balik di atas lori digunakan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan.
Beliau berkata, daripada 35 lori yang diperiksa dalam operasi itu, enam lori didapati gagal mematuhi peraturan melibatkan muatan yang terlebih berat, terlebih panjang dan terlebih ketinggian.
“Peraturan bertujuan keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain. Oleh itu, kita minta pemandu itu pandu semula lorinya ke pusat pengumpulan dan susun semula balak,” katanya semalam.
Grippin menjelaskan, peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk keselamatan bukan sahaja kepada pemandu lori balak tetapi turut membabitkan pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, pemandu lori balak perlu mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang masalah ketika membawa muatan balak.
Tambahnya, sepanjang pemeriksaan dan pemerhatian, masih lagi terdapat pemandu lori balak yang bersikap degil dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Justeru, pihak kita akan terus mengadakan operasi bersepadu dengan JPJ dalam usaha mengesan pemandu lori balak yang tidak mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.
Seementara itu, beliau berkata, poster turut diedarkan kepada balai pemeriksaan hutan berkaitan panduan muatan dan pengangkutan kayu balak serta tatacara bagi pengeluaran kayu jaras, sisa kayu dan kayu api yang perlu dipatuhi terutama oleh pemandu lori balak.
