
CYBERJAYA – Projek NORIBA yang dimulakan oleh Kumpulan Malakat Eco mensasarkan pelan 10 tahun untuk membebaskan membebaskan umat Islam di negara ini daripada sistem riba.
Pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim berkata, walaupun perjalanan mencapai cita-cita itu masih jauh, umat Islam di negara ini perlu yakin dan beriman untuk mencapai seruan yang dituntut Allah itu.
“Ya, memang masih jauh dan masih kecil usaha mengeluarkan kita semua daripada RIBA tetapi sekurang-kurangnya kita sudah mula bertindak.
“Projek NORIBA untuk membina tabung Sadaqah yang dapat memberikan pinjaman tanpa RIBA kepada untuk rakan-rakan yang memerlukan ini adalah permulaan kami,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, kejayaan projek NORIBA akan menjadi pencetus dan pemangkin dalam menguatkan ekosistem ekonomi Islam yang tidak lagi bergantung kepada komitmen bank.
Katanya, sebagai permulaan, tabung itu akan menyediakan kemudahan pinjaman kepada mereka yang memerlukan khususnya dalam keperluan perniagaan atau untuk keluar dari beban riba.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, tabung yang dilancarkan sejak tahun lalu itu kini mempunyai sumbangan terkumpul sebanyak RM100,000 dan pihaknya telah menambah dana sebanyak RM100,000 lagi sebagai permulaan.
“Kami telah melancarkan pinjaman melalui tabung NORIBA pada Jumaat lalu dan alhamdulillah menerima maklum balas dan sambutan yang amat baik.
“Ramai yang mula menyedari keperluan sistem seperti ini dan kita harap orang ramai akan terus menghulurkan sumbangan untuk kita perluaskan pemberian pinjaman,” ujar beliau lagi.
Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu dipercepatkan dengan memberi kesedaran kepada umat Islam yang masih tidak mendapat gambaran mengenai bagaimana sistem tanpa riba itu berfungsi.
“Kita semua mengetahui tentang larangan keras Allah dan Rasul terhadap RIBA tetapi amat sedikit yang memahami betapa bahayanya RIBA! Kini hampir keseluruhan manusia di muka bumi ini terikat dengan sistem RIBA yang dipergunakan untuk menghambakan manusia tanpa mereka sedari.
“Ya! Saya sendiri seperti ANDA! Terikat dengan hutang RIBA! Saya teringat dengan arwah Abah dan Emak. Mereka tidak pernah berhutang dengan Bank. Mereka tidak kaya tetapi mereka tidak susah. Hidup mereka tenang. Tak perlu risau nak bayar Bank setiap bulan. Hanya bil api dan bil air,” katanya.
Mohd Fadzil berkata, sistem riba diwujudkan oleh sebilangan kecil manusia untuk mengawal dan mengaut keuntungan dengan mengerahkan umat manusia di muka bumi bekerja untuk mereka.
“Kita buat duit dengan usaha tetapi mereka hanya menunggu dan mengaut keuntungan atas susah payah kita. Bayangkan kita bekerja 8 jam sehari dan menyerahkan wang kita kepada bank untuk disimpan,” jelasnya.
Menurut beliau, sistem matawang dunia ketika ini menggunakan prinsip ‘Fractional Reserve Banking System’ membolehkan bank mewujudkan wang baru 10 kali ganda daripada wang yang ada di dalam simpanan mereka.
“Contohnya jika kita menyimpan RM1,000 di dalam Bank, Bank boleh mengeluarkan RM10,000 untuk diberikan kepada orang lain melalui pinjaman. Bank mencipta wang melalui pemberian pinjaman.
“Bank menggunakan wang kita dan mewujudkan wang baharu untuk diberi secara pinjaman kepada kita balik dengan tambahan RIBA!
“Di satu segi ianya nampak baik kerana membantu mereka yang tidak mampu membeli secara tunai memiliki barangan yang mereka perlu. Tetapi pada masa yang sama mereka telah terjerat dengan RIBA yang dilarang tegas oleh ALLAH!,” tegasnya.