9 lokaliti PKPD di Kuala Lumpur berakhir tengah malam ini

0
157
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerrakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Kuala Lumpur akan berakhir pada pukul 11.59 malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang menjalani PKPD sejak 3 Julai lalu itu adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, PPR Batu Muda, Kampung Padang Ba­lang dan Taman Koperasi Polis (Fasa 2).

Turut ditamatkan PKPD adalah Flat Sri Sabah, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

Namun, nasib lapan daerah di Selangor yang membabitkan 34 buah mukim yang menjalani perintah sama sebelum ini masih belum diputuskan lagi.

Pada 1 Julai lalu, Ismail Sabri telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD di lapan daerah dalam Selangor yang membabitkan 34 buah mukim serta 14 lokaliti di Kuala Lumpur.

Perintah tersebut dilaksanakan dalam tempoh 14 hari bermula 3 Julai dan dijadualkan tamat hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak tiga lokaliti di Sabah dan tiga lokaliti di daerah Kerian, Perak akan dilaksanakan PKPD bermula 17 Julai sehingga 30 Julai 2021.

Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti di Sabah adalah Kampung Perpaduan Gumpa, Kudat, Perumahan Sabah Forest Industry, Sipitang dan Penjara Tawau serta Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau.

“Tiga lagi lokaliti di daerah Kerian, Perak adalah, Apartmen Tropicana Bukit Merah, Kampung Tersusun Pondok Tanjung serta Kampung Binjai,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here