Ada sekurang-kurangnya empat calon PM, termasuk Azmin dan Mukhriz-Tun M

0
709
Dr. Mahathir Mohamad

CYBERJAYA-  Terdapat sekurang-kurang empat calon yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang, kata Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir berkata, antara calon yang disebut ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Ada tiga hingga empat calon dan boleh jadi lebih. Ramai yang melihat saya mesra kepada Azmin, dia salah satu calonnya. Saya juga rasa ada calon Perdana Menteri yang bukan datang daripada ahli politik terkemuka.

“Mereka berada di luar daripada kumpulan ahli politik dan orang baharu. Mereka yang tunjuk minat dalam politik dan saya tidak boleh namakan kerana tidak adil buat mereka.

“Ada juga menamakan Mukhriz iaitu anak saya. Tetapi saya tidak percaya dengan memilih seorang dan mereka kena bersaing untuk mendapat jawatan ini. Apa pun pemimpin Pejuang perlu bekerja keras,” katanya dalam program ‘What’s Going On Malaysia’ yang dikendalikan oleh pelawak, Harith Iskander semalam.

Selain itu, Dr. Mahathir turut menegaskan bahawa beliau tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga kerana umurnya ketika ini yang telah mencecah 96 tahun.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menyatakan beliau sedia meninggalkan parti Pejuang yang baharu didaftarkan sekiranya diberikan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pejuang adalah parti politik. Suatu hari nanti kita akan adakan pilihan raya dan pada masa itu Pejuang akan bertanding. Tetapi yang penting sekarang ialah, kita sudah berdaftar. Jadi, masalah itu selesai.

“Tetapi, pada masa ini kami tidak fokus pada Pejuang. Kami tidak buat apa-apa mengenai Pejuang. Kami tidak cuba untuk jadi PM atau menggulingkan kerajaan.

“Apa yang kami mahu ialah supaya kerajaan menubuhkan badan seperti yang ditubuhkan pada 1969 oleh Tunku Abdul Rahman ketika dia melantik Tun Razak sebagai ketua organisasi Mageran.

“Tun Razak yang menyelesaikan masalah itu, diberi kuasa penuh. Kami ingin lihat tumpuan diberi kepada usaha menyelesaikan masalah tanpa bermain politik.

“Malah, jika saya terlibat dengan cara apa sekali pun, saya sedia letak jawatan dalam Pejuang,” katanya.Ahli Parlimen Langkawi itu turut mahu memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah berkaitan Covid-19.

“Saya akan memberikan sepenuh usaha untuk menyelesaikan masalah Covid secara sepenuh masa.

“Saya tidak perlu berada dalam Pejuang. Pejuang akan diteruskan, tetapi saya mahu fokus kepada perkara ini.

“Walaupun terdapat cabaran dalam Pejuang tetapi semuanya telah dikendalikan dan apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan objektif Pejuang dibawa oleh semua ahlinya,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here