Agong dukacita, pembatalan Ordinan Darurat belum diperkenan, membelakangi fungsi dan kuasa baginda

0
120
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat pada 26 Julai lalu kerana ia belum diperkenankan baginda.

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dibuat secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.

“Kenyataan juga bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prisnip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Negara seperti yang termaktub dalam Perlembangan Persekutuan.

“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembangan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berpelembagaan oleh mana-mana pihak khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ahli-ahli Parlimen supaya memberikan  keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung dan mencari penyelesain terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa di bawah lindungan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here