
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mengambil pendirian untuk menyokong keputusan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ramli berkata, sebagai ahli UMNO beliau perlu akur dan mematuhi keputusan itu
“Saya berpendirian dan mengambil ketetapan selaras dengan keputusan yang di ambil oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan juga Ketua Bahagian UMNO Cameron Highlands.
“Ia adalah selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai 2021 iaitu, dengan memberi mandat kepada Presiden dan MKT untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).
“Maka, keputusan ini perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin serta ahli parti dan saya sebagai Ahli Parlimen UMNO adalah tidak terkecuali dan akan akur kepada keputusan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal pagi Khamis lalu, Presiden UMNO dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MKT mengumumkan menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seperti mana semua tahu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 merupakan badan tertinggi parti yang telahpun membuat keputusan sedemikian.
Dalam pada itu, Ramli berkata, tugas utamanya pada masa kininadalah menumpu segala usaha dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan akibat wabak Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan kawasan Parlimen Cameron Highlands khususnya.-MT