Anwar kata pembatalan Ordinan Darurat tidak mendapat perkenan Agong

0
102
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Penjelasan segera perlu diberikan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat dan bukannya perlu ditunggu sehingga Isnin depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana beliau yakin bahawa pembatalan tersebut tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu katanya, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga diminta supaya tidak bersekongkol dengan mereka yang mengelirukan Dewan.

“Yang diumumkan menteri itu memang satu yang mengelirukan Dewan dan Speaker. Dengan kerusi yang mulia ini, jangan bersekongkol dengan orang yang mengelirukan Dewan.

“Yang kita minta hanya satu, kerana menteri kata tadi boleh jawab, tetapi Speaker kata Isnin tetapi saya nak Speaker harus kata, menteri boleh jawab hari ini.

“Kalau itu pun Speaker tidak sanggup, saya berdukacitalah. Ini bermakna kita ada masalah besar dengan Speaker kalau macam itu,” katanya ketika berbahas pada Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut mempertikaikan pembatalan tersebut dan menegaskan penjelasan hanya akan diberi pada Isnin nanti adalah satu perkara yang tidak boleh diterima.

“Sebagai seorang peguam yang pakar dalam bidang anda, Yang di-Pertua tahu bahawa “justice delayed is justice denied”. Kita tidak boleh tunggu sampai Isnin sebab ada banyak kekeliruan.

“Apakah kedudukan undang-undang sekarang? Hari ini Selasa, tunggu sampai Isnin, kita tidak boleh biar ini berlarutan. Ini bukan kerajaan tapi itu kerajaan gagal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here